Gold News



Utusan Malaysia

Gandakan nilai harta dengan melabur emas





PERTAMA kali dalam sejarah harga emas melepasi AS$1,800 seauns. Ini berikutan kebimbangan pelabur di Amerika Syarikat selepas had hutang negara tersebut dinaikkan buat kali ke 75 dan kemungkinan kelegaan kuantitatif dilakukan lagi.



Emas dilihat sebagai pelaburan yang selamat memandangkan ketidakupayaan kerajaan tersebut mengatasi masalah ekonominya.



Tindakan pelabur ini telah membuatkan Certified Gold Exchange dan J.P.Morgan Chase & Co mengemaskinikan ramalan kenaikan harga emas kepada AS$2,500 seauns.



Sejak 10 tahun lalu harga emas telah meningkat sebanyak 700 peratus (%). Kebimbangan pelabur bukan saja tertumpu kepada apa yang sedang berlaku di Amerika tetapi merebak kepada krisis hutang euro.



Setakat ini Portugal, Ireland, Greece, Sepanyol dan Itali telah mengalami masalah defisit dan kemasukkan Itali, ekonomi ketiga terbesar di Eropah telah menambahkan kebimbangan para pelabur.



Minggu lepas kita telah dikejutkan dengan keruntuhan pasaran saham dunia, seluruh dunia, bukan di Amerika sahaja, malahan Eropah dan Asia hilang nilai modal pasaran bernilai hampir AS$4.4 trilion.



Walaupun keputusan Federal Reserve di Amerika tidak menaikkan kadar faedah melegakan pasaran sementara tetapi dari segi asas, Amerika dan Eropah masih lemah.



Walaupun kejatuhan di Malaysia dari segi peratusan lebih rendah daripada lain-lain bursa, tetapi dianggarkan RM91 bilion telah lenyap daripada nilai modal pasaran saham kita.



Apabila pasaran saham runtuh, pelabur lari mencari tempat yang selamat dan salah satu yang paling selamat ialah emas.



Beralih kepada pelaburan emas di Malaysia, pelaburan emas belum begitu menyerlah terutama sekali di kalangan orang Melayu.



Kebanyakan orang Melayu gemar membeli barang kemas yang dicampurkan dengan logam lain dan bukan seperti emas ketul yang ketulenannya di paras 999.99.



Apabila barang kemas dijual balik potongan sebanyak 30 sehingga 40 peratus dikenakan daripada harga semasa. Oleh itu ada baiknya melabur dengan emas yang ketulenannya 999.99.



Pada sesiapa yang berminat boleh memiliki syiling emas melalui Maybank dan buku simpanan melalui Public Bank.

Saya ingin menyarankan koperasi-koperasi melabur dalam emas. Kita lihat lima tahun dulu harga emas seauns ialah AS$520 dan hari ini sudah mencecah AS$1,800.



Pelaburan inilah yang bukan saja boleh menguntungkan koperasi sendiri tetapi juga ahli-ahlinya.



Keahlian keseluruhan koperasi di negara kita tidak kurang daripada 8 juta orang. Bayangkan kita dapat meningkatkan kekayaan orang Melayu berlipat kali ganda apabila melabur dengan emas.



Memang benar sistem ArRahnu sudah lama diwujudkan selaku pajak gadai Islam dan penggadai memperoleh setakat 65% daripada nilai emas yang dipajakkan.



Pada waktu yang sama upah simpan antara 0.5 sehingga 1% dikenakan untuk kadar maksimum selama 6 bulan.

Bagi pihak koperasi, ia boleh memberikan pinjaman untuk membeli emas yang disimpan selaku cagaran oleh koperasi dan ahli diberikan 65% daripada nilai emas yang disimpan dan boleh mengenakan sedikit faedah yang jauh lebih rendah daripada upah simpan melalui ArRahnu.



Kita mempunyai satu-satunya badan koperasi yang memiliki kaitan dengan beberapa koperasi yang lain dan diurus dengan betul serta berhati-hati dalam porfolio pelaburannya iaitu Angkasa.


Angkasa boleh mengambil langkah awal ini yang bakal menguntungkan sejumlah besar keahlian koperasi negara ini. Sekian lama orang Melayu tidak begitu mengambil berat tentang pelaburan emas tulen ini dan banyak pengaruh seperti FOREX yang mengalih perhatian orang Melayu kepada satu-satu pelaburan yang berisiko tinggi.



Satu-satu syarikat bumiputera yang terbabit dengan urusan jual beli emas ini ialah syarikat Serambi Emas yang mempunyai akses kepada London Gold Bullion Market dan pasaran emas di Switzerland, Jepun, Australia dan Dubai.



Sekarang majlis penerangan tentang pelaburan emas sedang giat dikendalikan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang pelaburan emas.



Inilah satu-satunya peluang bagi masyarakat Melayu melipatkan gandakan nilai harta mereka. Usaha-usaha yang lepas telah menunjukkan yang kita masih lagi jauh ketinggalan dari segi memiliki kekayaan.



DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas

Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur

(kini Bursa Malaysia)

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Utusan Malaysia

13/08/2011



Fahami pelbagai kos jual beli emas





SEJAK kebelakangan ini banyak diperkatakan mengenai pelaburan dalam jongkong emas (gold bar). Saya berasa musykil apakah kelebihan membuat pelaburan dalam bentuk jongkong emas dengan membeli barang kemas (sebagai perhiasan)? Manakah yang lebih menguntungkan?



LAILI RAHMAN

Taman Desa



EMAS sentiasa menjadi topik pelaburan yang hangat, lebih-lebih lagi selepas kita melihat harga emas melonjak dalam tempoh dua tahun lepas. Dari segi dolar Amerika, harga emas telah naik sebanyak 60 peratus dalam tempoh dua tahun lepas dan lebih 150 peratus dalam tempoh empat tahun lepas. Sebab itulah emas kini mendapat perhatian ramai.



Soalnya apakah cara terbaik untuk meraih keuntungan daripada emas? Ada pelbagai cara anda boleh melabur dalam emas. Anda boleh membeli emas dalam bentuk fizikal sebenar dan ini mungkin dalam bentuk jongkong emas atau syiling emas. Syiling emas contohnya, Kijang Emas, mungkin lebih popular di Malaysia. Apabila membeli syiling emas, bank akan menyebut harga belian dan harga jualan. Inilah harga di mana bank akan membeli emas daripada anda atau menjual emas kepada anda. Dua harga ini adalah berbeza dan inilah kos anda untuk memiliki emas.



Sebagai contoh, untuk satu auns emas, harga jualan ialah RM5,571 bagi Kijang Emas. Inilah harga satu auns Kijang Emas yang dijual oleh bank kepada anda. Harga belian balik ialah RM5,352 bagi satu auns Kijang Emas. Inilah harga bank akan membeli balik satu auns Kijang Emas daripada anda, atau dengan kata lain, anda akan menjual balik barang kemas anda pada harga ini. Jika anda mahu membeli emas, anda boleh berbuat demikian pada harga RM5,571 dan menjualnya pada RM5,352. Perhatian bahawa terdapat perbezaan 4.0 peratus antara kedua-dua harga ini. Jika anda membeli Kijang Emas, katakan pada harga RM5,571, anda perlu menunggu harga belian balik RM5,352 untuk naik melebihi harga belian RM5,571 untuk meraih untung. Oleh itu ada baiknya meninjau sama ada terdapat harga jualan dan belian yang lebih baik.



Sebagai pilihan, anda boleh membeli barangan kemas daripada kedai emas. Kaedah ini menjadi pilihan utama di Timur Tengah dan Asia. Umumnya terdapat harga emas runcit yang ditetapkan oleh Persekutuan Tukang Emas dan Persatuan Jauhari Malaysia (www.fgjam.org.my) yang memberikan panduan tentang kadar emas yang ditawarkan oleh kedai emas. Anda perlu ingat bahawa barangan kemas berhubung kait dengan arah hala dan terdapat bahagian tertentu kos barangan kemas yang berkaitan dengan kerja ketukangan.



Jika barangan kemas dileburkan, anda mungkin kehilangan nilai kos berkait dengan kerja ketukangan tersebut, kerana nilai akhir yang dikira adalah hanya berasaskan nilai emas.



Selain itu adalah sukar untuk mengesahkan kandungan emas. Jadi nilai barangan kemas anda mungkin tidak mudah dan sukar ditentukan secara konsisten. Anda juga perlu mempertimbangkan faktor simpanan, sebagai contoh, menyewa peti besi atau peti simpanan selamat jika anda mempunyai jumlah emas yang besar.



Satu lagi cara yang semakin popular sejak dua tahun lepas ialah akaun buku simpanan emas. Apabila anda membuka akaun tersebut, anda akan diberikan buku simpanan.



Ia berfungsi sama seperti akaun simpanan. Apabila gaji anda dikreditkan ke dalam akaun simpanan, anda tidak memegang tunai secara fizikal sehingga anda mengeluarkannya daripada ATM.



Oleh sebab terdapat pelbagai kaedah untuk membeli emas, anda perlu memahami kos menjual beli emas. Satu lagi, emas diniagakan dalam dolar Amerika, dengan itu terdapat risiko tukaran asing bagi pelabur yang membeli emas dalam mata wang lain, seperti Ringgit Malaysia (RM).



Sebarang keputusan melabur dalam emas hendaklah dibuat untuk jangka panjang. Berdasarkan pergerakan pasaran saham, emas memberikan perlindungan terhadap ketidaktentuan global. Selain itu, emas merupakan lindung nilai yang baik terhadap inflasi. Justeru, emas merupakan kelas aset yang patut dipertimbangkan.



--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Berita Harian

Prestasi harga emas diunjur terus melonjak
Oleh Mahanum Abdul Aziz 
mahanum@bharian.com.my 
02/08/2011

Pelaburan dijangka beri pulangan 24 peratus setahun



PELABURAN dalam emas diunjurkan mampu memberikan pulangan sehingga 24 peratus setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan harga logam berharga itu dijangkakan mencecah AS$2,100 seauns menjelang 2014.

Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank (Stanchart), Steve Brice, berkata permintaan bagi emas dijangkakan terus meningkat terutama dari China serta India berikutan peningkatan pendapatan boleh guna di kedua-dua negara itu.





Beliau berkata, keadaan ekonomi global yang tidak menentu berikutan masalah hutang di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang berlarutan juga menggalakkan bank pusat seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing. 

“Kami yakin dengan prestasi harga emas berikutan permintaannya dijangka terus meningkat kerana pelabur melihat komoditi itu sebagai pelaburan lindung nilai,” katanya pada taklimat media mengenai jangkaan pelaburan separuh kedua di Kuala Lumpur, semalam. 

Brice berkata, pihaknya menjangkakan harga emas mampu mencecah paras AS$1,650 seauns menjelang akhir tahun ini. 

Keadaan persekitaran kadar faedah benar yang negatif di AS juga mendorong kepada peningkatan permintaan emas kerana kebiasaannya ia sangat tinggi ketika kadar faedah benar adalah negatif, jelasnya. 
“Dalam tempoh Disember 2007 hingga kini, emas mencatatkan pulangan terkumpul sebanyak 43 peratus,” katanya. 

Harga emas terus didagangkan kukuh mencecah AS$1,632.30 seauns Jumaat lalu berikutan data ekonomi yang lemah di AS. 

Bagaimanapun, harganya jatuh 0.7 peratus kepada AS$1,615.19 pada sesi dagangan semalam berikutan persetujuan pemimpin kongres AS untuk menaikkan had hutang dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan bagi mengelak potensi gagal membayar hutang. 






--------------------------------------------------------------------------------------------------------------







Berita Harian





Emas lepasi paras AS$1,600 seauns
Oleh Mahanum Abdul Aziz 
mahanum@bharian.com.my 
19/07/2011

Pelabur alih tumpuan berikutan bimbang krisis hutang di Eropah, AS berlarutan 

HARGA emas melonjak melepasi paras AS$1,600 seauns semalam, iaitu paras tertinggi dalam sejarah, berikutan belian berterusan pelabur yang mengalihkan pelaburan kepada logam berharga itu kerana bimbang masalah hutang semakin meruncing di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).


Harga komoditi itu terus mengukuh dalam sesi dagangan pagi semalam dengan melonjak ke paras AS$1,600.10 seauns di Pasaran Jongkong London selepas menyaksikan arah aliran meningkat sejak Jumaat.





Ketua Penyelidik di Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata ketidaktentuan terhadap penyelesaian masalah hutang di Eropah serta AS menyebabkan pelabur mengalih tumpuan terhadap emas kerana logam berharga itu dianggap sebagai pelaburan paling selamat ketika krisis. 

Beliau berkata, harga emas dijangka meneruskan arah aliran menaik dengan potensi untuk mencecah AS$1,650 seauns dalam jangka sederhana dan AS$2,000 seauns dalam tempoh dua tahun. 

“Kelemahan dolar AS dan euro berikutan kebimbangan masalah hutang yang semakin meruncing di negara ekonomi terbesar dunia dan rantau mata wang tunggal itu menyebabkan pelabur memilih untuk melabur dalam emas, sekali gus melonjakkan harganya,” katanya kepada Berita Harian semalam. 

Beliau berkata, pelabur semakin bimbang dengan perkembangan terkini di AS selepas Presiden Barack Obama dan Parti Republikan terpaksa bekerja keras pada hujung minggu lalu bagi mencapai persetujuan menaikkan paras siling hutang negara itu. 
Nazri berkata, kebimbangan pelabur kemungkinan krisis hutang di Eropah akan merebak ke Itali dan Sepanyol telah menyebabkan mata wang euro didagangkan lemah dan keadaan itu mendorong peningkatan permintaan untuk emas.

Kelmarin, Senat parti campuran bercadang membuktikan paras hutang AS dapat dikurangkan jika ia memperoleh hasil sebanyak AS$1.5 trilion hasil potongan perbelanjaan untuk tempoh sedekad. 

Jika kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan menjelang tarikh akhir pada 2 Ogos ini, ekonomi terbesar dunia itu mungkin berdepan isu kegagalan membayar hutangnya. 

Ia adalah senario yang digambarkan Obama sebagai ‘kehancuran ekonomi’, sekali gus akan memberi kesan ketara pada peringkat global. 

Krisis zon Euro juga terus berlanjutan berikutan penggubal dasar masih gagal memperoleh pelan penyelamat kedua untuk Greece. 

Kenyataan terkini Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) Jean-Claude Trichet bahawa ECB tidak dapat menerima kegagalan penebusan semula bon sebagai cagaran telah membimbangkan pelabur. 

Sebelum ini terdapat laporan mengatakan harga emas dijangka meneruskan aliran meningkatnya sehingga mencecah AS$2,100 seaun atau AS$67.5 (RM202.57) segram menjelang 2014, susulan permintaan kukuh pengguna dan pelabur. 

Akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya.






--------------------------------------------------------------------------------------------------------------







Berita Harian





Harga emas kekal tinggi

21/04/2011

Logam pelaburan paling selamat lepasi paras AS$1,500 seauns 

HARGA emas buat pertama kali dalam sejarah melepasi paras AS$1,500 (RM4,524) seauns semalam, apabila kelemahan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) ditambah pula dengan kebimbangan terhadap kadar inflasi yang tinggi serta krisis hutang yang membelenggu negara Eropah menyebabkan pelabur beralih membeli logam yang dianggap pelindung nilai paling selamat itu.


Harga logam itu mencecah AS$1,502.32 seauns pada satu ketika dalam sesi dagangan di Pasaran Jongkong London semalam sebelum ditutup pada AS$1,499.32 seauns.





Harga logam perak turut mencatatkan harga tertingginya dalam tempoh 31 tahun semalam iaitu AS$44.48 seauns. 

“Harga emas kekal tinggi, apabila tekanan inflasi jangka pendek dan ketidaktentuan ekonomi telah mencetuskan peralihan kepada pelaburan lebih selamat,” kata Penganalisis Komoditi Kumpulan Kewangan Rusia, VTB Capital, Andrey Kryuchenkov. 

Emas dilihat sebagai pelindung nilai paling selamat dalam situasi ekonomi yang tidak menentu. 

Harga emas mula melonjak untuk bergerak ke paras AS$1,500 pada Isnin lalu selepas agensi penarafan antarabangsa, Standard & Poor’s (S&P) menyemak semula tinjauan penarafan hutang kedaulatan AS kepada negatif daripada stabil. 
Penarafan S&P itu mencabar penarafan ‘AAA’ Washington, apabila ia memberi amaran bahawa ahli politik AS dilihat tidak mampu menyetujui pelan untuk mengurangkan defisit bajet yang besar, iaitu kira-kira 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu. 

Penurunan penarafan itu juga mengheret turun harga saham dunia pada Isnin, di tengah-tengah meningkatnya kebimbangan terhadap inflasi dengan China, India dan zon euro bergelut untuk membendung kenaikan harga. 

Minggu lalu, firma perunding logam, GFMS mengunjurkan harga emas akan melonjak melepasi paras AS$1,600 tahun ini, dipacu terutama oleh kebimbangan ke atas inflasi yang tinggi. 

Kryuchenkov berkata: “Emas melonjak selepas S&P menurunkan penarafan tinjauan hutang kedaulatan AS kepada negatif dan ia dibuat ketika adanya kebimbangan mengenai masalah ekonomi susulan kemunculan semula masalah hutang di zon euro.” 

Harga emas telah meningkat enam peratus sejak awal tahun ini, memecah beberapa siri rekod tertingginya sepanjang tempoh itu. 

Harganya melepasi paras AS$1,000 buat kali pertama pada Mac 2008. 

“Emas akan terus menjadi tumpuan pelabur selagi kebimbangan terhadap inflasi dan hutang berterusan,” kata Penganalisis kumpulan perdagangan Spread Co, Ian O’Sullivan. – AFP